LIKE US

Monday 9 September 2013

GAGAL BAYAR PTPTN

Sejumlah RM300 juta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal dilunas peminjam akan mengakibatkan sekurang-kurangnya 15,000 pelajar tidak mendapat kemudahan itu daripada tabung berkenaan.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sehubungan itu, sebanyak 400,000 peminjam tegar yang gagal melunaskan pinjaman dinasihat membuat bayaran bagi memastikan hak pelajar lain tidak dinafikan.

"Kini terdapat 400,000 peminjam tegar yang masih gagal membayar pinjaman yang berjumlah RM2.3 bilion. Jumlah ini besar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Parlimen Lenggong di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 2.24 juta peminjam menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN yang melibatkan peruntukan sebanyak RM50.52 bilion.

Katanya, bagi tempoh sama, perbadanan itu berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM4.32 bilion.

"Budaya membayar balik pembiayaan PTPTN semakin meningkat dalam kalangan masyarakat hasil pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan serta sokongan padu masyarakat," katanya.

Anggota Parlimen Lenggong itu juga berkata bagi 2009, PTPTN berjaya mengutip sejumlah RM553 juta manakala bagi 2010, sebanyak RM638 juta, 2011 (RM737 juta) dan 2012 (RM800 juta).

Beliau berkata setiap tahun PTPTN memberi pinjaman kepada lebih 200,000 peminjam dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, pada masa akan datang, perbadanan itu berhasrat memberi pinjaman kepada lebih ramai pelajar.


Kredit to BERNAMA

No comments:

Post a Comment